Wednesday, 25 February 2015

DAGING LANDAK? HALAL ATAU HARAM?

DAGING LANDAK? HALAL ATAU HARAM?-Dalam hidup di dunia yang sementara ini, Allah telah menggariskan panduan untuk mendidik dan menjaga manusia melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Allah mendidik manusia dari segala aspek seperti cara hidup, akhlak, aqidah, ibadah serta makan dan minum. Begitulah sayangnya Allah kepada hamba-Nya sehingga sekecil-kecil perkara pun DIA jaga supaya jiwa manusia ini sentiasa bersih dan hidup dengan sejahtera jika mengambil makanan dan minuman yang halal seperti daging ayam, ikan, kambing, lembu, sayur-sayuran dan yang sewaktu dengannya. Bagi kategori makanan yang haram dimakan termasuklah daging babi, bangkai, daging haiwan yang bertaring dan berkuku tajam dan sebagainya. Daging babi jelas akan pengharamannya melalui surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud :

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

DAGING LANDAK? HALAL ATAU HARAM?


haram

Tetapi bagaimana pula dengan landak? Iaitu sejenis haiwan yang buas dan bertaring? Adakah iainya termasuk dalam kategori bertaring dan berkuku tajam tadi? Di sini penulis hendak kongsikan hujah bagi persoalan di atas melalui beberapa pandangan ulama’ mazhab tentang hukum memakan daging landak.

Untuk makluman semua, yang dilarang oleh hadis ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya. Penulis tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulama' tentang landak adalah seperti berikut :

  1. Mazhab Hanafi dan Hanbali : haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman yang mafhumnya, “Dan dia (Nabi Muhammad SAW) mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji” (surah al-A’raf, ayat 157).

  2. Mazhab Maliki dan Syafiie : harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra iaitu kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan yang dikarang oleh ad-Dumairi menjelaskan, Imam Syafiie berkata; “Landak halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik”. Di antara kaedah dalam mazhab Syafiie dalam menentukan jenis haiwan yang halal dan yang haram iaitu, “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya”.


DAGING LANDAK? HALAL ATAU HARAM?




Ada diriwayatkan Nabi S.A.W bersabda; “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” . (Musnad Imam Ahmad; 5954. Sunan Abu Daud; 3799. Dari Abu Hurairah RA). Namun ulamak-ulamak hadis menegaskan bahawa sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang majhul, tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum-hakam. Sebab itulah masih terdapat khilaf oleh para ulama’ tentang hukum memakan daging landak. Ulama’ yang berpandangan dia binatang yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang keji, mereka mengharamkannya. WALLAHUA’LAM.

No comments: