PUASA RAMADHAN SUATU KENIKMATAN
Pengertian Puasa
Puasa secara bahasa bererti menahan dari sesuatu.
Dari segi istilah syara’, puasas bererti menahan diri dari makan, minum, dan dari segala perbuatan yang membatalkan puasa yang disertai dengan niat dari mulai terbitnya fajar shadiq hingga terbenamnya matahari.
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia di mana semua pintu neraka ditutup serapatnya dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya serta syaitan dan iblis dibelenggu dan diikat. Begitulah istimewanya bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat dan pemberian pahala oleh Allah yang berlipat kali ganda bagi mereka yang melakukan ibadah-ibadah seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya. Sepertimana bunga mekar ketika musim bunga, seharusnya begitulah taqwa akan mekar di kala Ramadhan. Dengan syarat, puasanya mengikut ketetapan yang telah digariskan oleh Allah dan diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.
Jadi apakah prasarana puasa itu? Adakah setakat bangun sahur sebelum subuh dan tidak makan di siang hari selama 30 hari? Itu sahaja?
Tidak. Prasarana puasa yang sebenar ialah menahan diri. Menahan diri daripada menuruti hawa nafsu. Dari sudut perbuatan, percakapan, sehinggalah juga pada sudut perasaan.
Sewaktu Ramadhan, seharusnya diri berusaha lebih keras untuk menghakis perkara lagha yang dilakukan sebelumnya. Inilah masa untuk mengikis sebersih-bersihnya rasa malas, suka marah, kuat tidur, kuat shopping atau kuat makan. Tidak perlu bercerita tentang maksiat. Seharusnya, usaha membuangnya jauh-jauh perlu lebih giat dilakukan ketika bulan puasa ini.
Begitu juga amalan sunat yang liat dijalankan sebelum Ramadhan, kali ini sungguh-sungguh dihidupkan dalam rutin harian penuh semangat . Biar sebati dalam diri, agar melekat sampai lepas Ramadhan nanti. Amalan wajib pula dipercantikkan sebaiknya, agar lebih berseri-seri dan indah catatan amalan itu. Mudah-mudahan, mekar menguntumlah rasa taqwa dalam diri. Barulah ia dipanggil ‘impak’ dalam hati.
Sesuai benar dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat ke-183 (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
PUASA RAMADHAN SUATU KENIKMATAN

Ramadhan itu ada tiga fasa. Di awalnya kerahmatan. Penuh dengan rahmat. Bagaikan mencurah-curah ke ladang gandum!
Di tengahnya, keampunan. Seluas langit dan bumi, keampunan, kemaafan, peluang untuk dihapuskan segala dosa dan noda.
Dan di hujungnya? JUALAN ISTIMEWA HARI RAYA. Maka beratur panjanglah kita di kaunter pasar raya, berpusu-pusulah kita ke Mydin dan semakin sepilah barisan makmum terawih. Kasihan imam Arab itu.
Beginikah kita orang mukmin?
Mestilah tidak! Seharusnya, ketika di hujung Ramadhan, kita perlu lebih berusaha untuk mengejar malam lailatul qadr dan pembebasan daripada api neraka. Bukankah bertemu malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu adalah matlamat kita? Bukanlah raya itu yang menjadi fokusnya. Jika itu sahajalah tujuan kita, alangkah ruginya kita kerana malam lailatul qadr hanya ada pada bulan Ramadhan yang belum tentu lagi kita dapat menemuinya pada Ramadhan yang akan datang. Janganlah kita terlalu fokus untuk berhari raya tanpa menghiraukan fadhilat yang lebih besar di akhir-akhir Ramadhan.
Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan itu seharusnya menjadi titik tolak kepada perubahan diri kita. Bukan sahaja itu, ia juga boleh menjadi motivasi buat kita untuk menambah amalan-amalan kita dan seterusnya istiqamah sehingga menuju bulan seterusnya. Begitulah seharusnya Ramadhan seorang mukmin!
Semoga kita semua tidak mensia-siakan peluang yang ada. Dunia semakin berada di penghujungnya tetapi kita masih lagi alpa dan lalai dengan madu duniawi tanpa menghiraukan madu yang lebih manis di dalam syurga kelak. Nauzubillahi min zalik. Mari sama-sama kita muhasabah diri serta koreksi peribadi agar kita dapat menjadi seorang muslim, mu’min dan juga muhsin. Amin.
Semoga bermanfaat untuk kita semua. WALLAHUA’LAM...
No comments:
Post a Comment