Monday, 2 March 2015

KESALAHAN SUAMI YANG SERING DILAKUKAN TERHADAP ISTERI

KESALAHAN SUAMI YANG SERING DILAKUKAN TERHADAP ISTERI-Penceraian adalah perkara yang halal tetapi amat dibenci oleh Allah kerana cerai itu boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan jika berterusan menjadi amalan segelintir masyarakat kita. Banyak perkara yang menjadi sebab kepada penceraian. Contohnya ialah sikap si suami itu sendiri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai nakhoda dalam rumahtangga yang dibina. Di sini penulis menyenaraikan beberapa kesalahan suami yang sering dilakukan terhadap isteri malah bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Baginda S.A.W.

KESALAHAN SUAMI YANG SERING DILAKUKAN TERHADAP ISTERI




Kesalahan-kesalahan suami terhadap isteri :

  1. Tidak Mengajarkan AGAMA dan HUKUM syariat kepada isteri


Mendidik dan membimbing isteri adalah tanggungjawab suami yang wajib dilakukan. Jika si isteri jahil tentang agama, ajarkannya. Jika si isteri tidak tahu hukum-hukum dalam agama, terangkan kepadanya. Bukannya membiarkan isteri terkapai-kapai sendirian tanpa pengetahuan mendalam tentang agama dan lebih teruk lagi jika menjadikan isteri sebagai sumber pendapatan iaitu dengan melacurkan isteri kepada kawan-kawan. Nauzubillahi min zalik. Jika tidak mahu mendidiknya, janganlah merosakkan dirinya kerana itu adalah perbuatan yang teramat keji.

Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:

“Hai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat – malaikat yang kasar, keras dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kepada mereka serta selalu mengerjakan apa yang diperintakan” (Surah At-Tahrim:6)

Maka para suami diminta untuk tidak sesekali mengabaikan hal ini, kerana semuanya akan diminta dipertanggungjawapkan ke atasnya. Hendaklah benar-benar mengajarkan agama kepada isterinya, baik dilakukan sendiri atau melalui perantara. Antara lain yang dapat dilakukan ialah menghadiahkan buku-buku tentang Islam dan hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan sebagainya.

  1. Suka Mencari Kekurangan & Kesalahan Isteri


Dalam suatu hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam, kerana dikhuatirkan akan mendapati berbagai kekurangan isteri dan cela isterinya. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda Rasulullah:

“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” (H.R. Muslim)

  1. Memberi Hukuman yang Tidak Sesuai Dengan Kesalahan Isteri


Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, antara lain iaitu:

(a) Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman

(b) Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie.

(c) Memukul wajah, mencela dan menghina.

Dalam as-Sunan dan al-Musnan dari Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa ia berkata: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri atas suaminya? Nabi s.a.w menjawab:

“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan dan tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani)

  1. Culas Dalam Memberi Nafkah Kepada Isteri


Isteri berhak mendapatkan nafkah, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas atau tipu dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun tanpa pengetahuan suaminya.

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah : 233)

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)

KESALAHAN SUAMI YANG SERING DILAKUKAN TERHADAP ISTERI




  1. Sikap Keras, Kasar, Tidak Lembut Terhadap Isteri


Rasulullah S.A.W bersabda: “Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” (H.R. at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani)

Maka suami hendaklah berakhlak baik terhadap isterinya dengan bersikap lembut dan menjauhi kekasaran kerana perempuan itu jenisnya lembut. Jadi, suami perlulah layan dengan layanan yang seiring dengan lumrahnya sebagai seorang perempuan.

  1. Kesombongan Suami Membantu Isteri Dalam Urusan Rumahtangga


Ini kesalahan yang paling kerap ada pada diri seorang suami. Walhal Rasulullah sendiri meringankan tangan membantu isteri-isteri baginda menguruskan rumah. Tidak salah pun jika suami membantu isteri memasak, menjaga anak, kemas rumah dan sebagainya. Tidak jatuh pun martabat sebagai seorang lelaki malah sifat rajin itu akan mengeratkan lagi hubungan suami isteri disamping mendapat pahala dan redha daripada Allah S.W.T.

Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah S.A.W di rumahnya, beliau menjawab:

“Beliau membantu pekerjaan isterinya dan jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” (H.R. Bukhari)

  1. Menyebarkan Rahsia dan Aib Isterinya


“Sesungguhnya diantara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya & isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia isterinya.” (H.R. Muslim)

Dalam hadith ini diHARAMkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menceritakan setiap inci daripada tubuh isterinya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.

  1. Sikap Terburu-buru Dalam Menceraikan Isteri


Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau dan isterimu adalah hubungan yang kuat lagi suci. Oleh sebab itulah Islam menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak, keruntuhan akhlak anak-anak dan sebagainya. Dan hendaknya perkataan cerai atau talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan dan mainan. Kerana Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” (H.R. Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan” oleh asy-Syeikh Albani)

Memang perselisihan antara suami isteri sering terjadi kadang sampai mengarah kepada penceraian. Akan tetapi penceraian ini tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan ini. Bahkan harus diusahakan dengan pelbagai cara untuk menyelesaikannya, kerana takut nanti timbul rasa menyesal bila nasi sudah pun menjadi bubur. Perlu kita ingat, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri.

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (H.R. Muslim)

KESALAHAN SUAMI YANG SERING DILAKUKAN TERHADAP ISTERI




  1. Berpoligami Tanpa Mengikut Ketentuan Syari’at


Menikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Akan tetapi yang menjadi permasalahannya di sini ialah lelaki yang ingin mengahwini wanita lebih daripada satu tidak mengikut seperti apa yang diajarkan oleh Baginda S.A.W iaitu tidak berlaku adil  serta tidak bertanggungjawab terhadap keluarganya. Terutama isteri pertama dan anak-anaknya.

“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.” (Surah An-Nisa : 3)

Sikap ini merupakan KEADILAN yang diperintahkan Allah S.W.T. Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik serta tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjuruskan kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan anak-anak dan menambah permasalahan keluarga, juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya dan perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum masuk ke’dalam’nya.

  1. Lemahnya Kecemburuan


Para suami membiarkan keelokan, keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati oleh ramai orang. Dia membiarkan isterinya menampakkan auratnya ketika keluar rumah, membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki lain. Bahkan sebahagian ada yang bangga kerana telah memiliki isteri yang cantik yang boleh dinikmati ‘pandangan’ kebanyakan orang. Padahal wanita dimata Islam adalah golongan insan yang sangat mulia, sehingga keindahan dan keelokannya hanya diperuntukkan atau dikhususkan buat suaminya sahaja tidak sesekali di’jaja’ ke mana-mana pun.

Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap istrinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang BUKAN mahram.

“Ditusukkan kepala seorang lelaki dengan jarum dari besi lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” (lihat dalam ash-Shahihah : 226)

Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya, dia akan memperhatikan sabda Rasulullah S.A.W:

“Janganlah kalian masuk menemui para wanita.” lalu seorang Ansar berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan al-hamwu (kerabat suami)?” Beliau mengatakan, “Al- hamwu adalah kematian.” (Muttafaq ‘alaih)

Perhatikan juga ancaman Rasulullah S.A.W terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri):

“Tiga golongan yang Allah S.W.T tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts” (H.R. An-Nasa’i dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat ash-Shahihah : 674)

Dan ad-Dayyuts (dayus) adalah LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.

Rasulullah S.A.W berpesan: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya". (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

WALLAHUA’LAM..

Semoga bermanfaat. In shaa Allah.

No comments: