Makna munafik :
Dari segi bahasa : Orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar.
Dari segi istilah syarak : Seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati.
Antara ciri-ciri seorang yang munafik ialah :
- Bercakap tetapi berbohong.
- Apabila diberi amanah tetapi mengkhianatinya
- Berjanji tetapi memungkirinya.
Terdapat beberapa hadith yang menerangkan tentang ciri-ciri orang yang munafik ini. Antaranya ialah :
- Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah saw bersabda :
أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه خلة منهن كانت فيه خلة من نفاق حتى يدعها إذا حدث كذب وإذا عاهد غدر وإذا وعد أخلف وإذا خاصم فجر
"Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas". [Hadith Sahih Riwayat Muslim]
- Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah saw bersabda :
آية المنافق ثلاث إذا حدث كذب وإذا وعد أخلف وإذا اؤتمن خان
"Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya". [Hadith Sahih Riwayat Muslim]
Menurut kitab Indahnya Hidup Bersyariat yang dikarang oleh Dato’ Ismail Kamus, tanda-tanda seseorang itu menjadi munafik ada enam :
- Iman tidak tetap dan tidak teguh
- Tindak-tanduk yang sentiasa berubah
- Tidak tetap kata
- Sentiasa mengharapkan kebaikannya dibalas
- Jiwanya tidak tenteram
- Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup
Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang munafik itu akan ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali di dalam neraka.” (Surah An-Nisa’ : 145)
Semoga kita semua terhindar dari menjadi atau dekat dengan golongan munafik ini kerana golongan ini adalah musuh dalam selimut agama kita. Wujudnya golongan ini boleh memecah-belahkan masyarakat malah negara juga turut terjejas jika golongan seperti ini wujud dan berleluasa. Penulis mengajak semua pembaca agar menjauhi sifat-sifat munafik tersebut. Contohilah sunnah Baginda S.A.W. in shaa Allah hidup kita akan sentiasa berada di landasan yang lurus dan benar. Amin. WALLAHUA’LAM...
No comments:
Post a Comment