ADAB-ADAB ISTERI TERHADAP SUAMI
Seperti yang kita biasa dengar, syurga seorang isteri adalah di bawah telapak kaki suami. Apabila selesai sahaja lafaz akad nikah suami dgn wali si isteri, maka tanggungjawab menjaga kebajikan serta mendidik isteri adalah sepenuhnya di atas bahu suami. Jadi, untuk mendapatkan syurga tersebut adalah sangat mudah iaitu taat perintah suami selagi mana perintah tersebut tidak bercanggah dengan hukum syara’. Persoalannya, apakah adab-adab yang perlu si isteri lakukan terhadap suami?
Di sini penulis menyenaraikan 13 adab yang perlu si isteri jaga bila bersama suaminya :
- Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
- Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
- Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri.
- Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam).
- Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung dihatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.
- Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati.
- Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan keperibadian isteri sama ada ikhlas atau terpaksa. Para suami pasti akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isteri mereka. Sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
- Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
- Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar ke atas setiap isteri.
- Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku baru hendak beritahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
- Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hati si suami senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt dan diamalkan sendiri oleh baginda Rasulullah S.A.W.
- Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Kalau boleh sediakan makanan ringan seperti kuih-muih dan biskut. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
- Hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka walaupun kita kurang menyukai.
ADAB-ADAB ISTERI TERHADAP SUAMI
Sememangnya menggembirakan suami adalah satu ibadah dan besar ganjarannya. Jahat macam mana pun si suami, isteri janganlah meninggikan suara apatah lagi menengking kerana hukumnya haram. Si suami pun janganlah mengambil kesempatan di atas kebaikan isteri. Sama-samalah membahagiakan antara satu sama lain bagi melahirkan suasana harmoni di alam rumahtangga. Walaubagaimanapun, sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Berselisihan faham dan bercanggah pendapat itu perkara biasa tetapi suami isteri perlu bijak dalam menangani situasi tersebut. Elakkan dari pergaduhan. Semoga rumahtangga yang dibina, kekal hingga Jannah-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment