Thursday, 5 March 2015

KEADAAN KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL KHATIMAH)

KEADAAN KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL KHATIMAH)-Mati itu adalah pasti. Tiada siapa yang boleh mengecualikan dirinya daripada kematian. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang maksum pon wafat (mati), firaun yang tidak pernah rasa sakit pun mati. Apatah lagi kita manusia biasa yang sentiasa melakukan silap dan dosa. Walaupun semua makhluk akan mati, tetapi keadaan semasa kematian itu adalah berbeza-beza. Jadi, bagaimanakah kita hendak mengetahui sama ada keadaan si mati semasa kematiannya itu baik ataupun buruk. Tetapi sebelum itu penulis hendak berpesan, jika terdapat kematian yang selain daripada keadaan-keadaan atau tanda-tanda yang disenaraikan di bawah, jangan kita mengganggapnya kematian yang hina ataupun tidak baik. Bersangka baiklah terhadap semua orang termasuk yang telah meninggal dunia serta janganlah membuka aib si mati dengan menyatakan, “si polan meninggal dengan keadaan yang sekian sekian dan mati di tempat sekian sekian”. Jika kita tutup aib orang, Allah akan tutup aib kita di akhirat kelak.

KEADAAN KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL KHATIMAH)




Antara keadaan kematian seseorang itu adalah baik :

  1. Dapat mengucap dua kalimah syahadah.


Dalilnya hadis dari Muaz bin Jabal r.a, “Sesiapa yang akhir ucapannya ialah La ilaha illaLlah maka ia dapat masuk Syurga”- (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim). Justeru, hendaklah kita mentalqin orang kesayangan kita ketika sakratul maut supaya dia sempat mengucap dan meninggal dalam keadaan beriman.

  1. Meninggal dunia pada hari Jumaat.


Daripada hadis riwayat Abdullah bin Amru bin al-Ash, “Mana-mana Muslim yang mati di siang hari Jumaat atau malam Jumaat, nescaya Allah selamatkan dia dari fitnah kubur”. (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi). Walaubagaimanapun, hal ini bukanlah bermaksud mati pada hari selain hari Jumaat tidak baik kerana baginda S.A.W sendiri wafat pada hari Isnin.

  1. Dahi berpeluh.


“Mati orang beriman itu dengan percikan peluh di dahinya”. (Hadis riwayat Ahmad, Termidzi, an-Nasa`iy, Ibn Majah, dan al-Hakim).

  1. Mati syahid di medan jihad.


“Barangsiapa yang terbunuh pada jalan Allah (medan perang) adalah mati syahid. Barangsiapa yang mati pada jalan Allah, maka ia mati syahid” (Hadis riwayat Muslim). Terbunuh (Mati syahid di medan perang jihad) mungkin susah buat kita umat Islam yang tinggal di Malaysia yang aman. Kebanyakan yang diiktiraf sebagai mati syahid adalah para syuhada’ yang mempertahankan negara serta Islam seperti mereka yg berada di medan Palestin, Iraq.

  1. Mati di jalan Allah.


Mati pada jalan Allah ini ialah mereka yang meninggal dunia semasa hendak mempertahankan agama atau semasa melakukan ibadah. Ianya merupakan satu cabang lain yang merupakan satu kelompok dengan mati syahid di medan jihad. Contoh mati di jalan Allah ialah wanita yang dibunuh kerana memakai tudung dan menutup aurat.

  1. Mati kerana wabak taun.


Pada zaman dahulu wabak yang dikenali hanya taun. Pada masa sekarang, terdapat banyak lagi wabak yang dikenali seperti selesema burung, SARS, denggi berdarah dan sebagainya. Sesiapa yang mati kerana dilanda wabak berkenaan, matinya termasuk dalam kesudahan yang baik.

  1. Mati kerana lemas.


Contohnya mereka yang lemas kerana banjir, tsunami dan sebagainya.

  1. Mati kerana sakit zat al-janb (paru-paru).


Zat al-Janb maksudnya sakit tumbuk rusuk atau sakit sesak nafas, orang zaman dulu namakan ia zat al-Janb, sekarang dikenali dgn pneumonia atau sakit paru-paru berair. Maka mereka yg mati disebabkan oleh komplikasi paru-paru adalah antara yang tergolong dalam golongan husnul khatimah.

  1. Mati kerana komplikasi pada perut.


Mati kerana komplikasi perut ni banyak jenis melibatkan perut dan intestines (usus), yang paling biasa ialah appendict dan kanser usus. Jadi, jika seseorang membawa maut kerana ada komplikasi perut dan usus, maka ia mendapat husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik.

KEADAAN KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL KHATIMAH)




  1. Mati kerana kebakaran.


Sering kita membaca akhbar orang Islam yg mati kerana kebakaran baik rumah atau kenderaan yang terlibat dgn kecelakaan jalanraya yg bertukar menjadi kebakaran. Mereka ini juga termasuk dalam mati yg baik. Berilah berita gembira kepada keluarganya.

  1. Mati kerana ditimpa keruntuhan seperti ditimpa batu, tanah runtuh dan sebagainya

  2. Perempuan yang mati disebabkan anak yang dikandungnya.


Dengan penjagaan kesihatan dan polisi kerajaan, ditambah dengan kecanggihan teknlologi perubatan yang moden, jumlah kematian akibat kelahiran agak menurun di negara kita sekarang. Namun jika ada mana-mana ibu yang meninggal kerana bersalin, dia mendapat syahid.

  1. Mati kerana batuk kering.


“....dan mati kerana penyakit batuk kering adalah syahid”. (hadis riwayat At-Thobaraani)

  1. Mati kerana menjaga harta.


“Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya dia mati syahid”. (Hadis riwayat Muslim)

  1. Mati kerana mempertahankan agama.


Dari Said bin Zaid, “Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya, maka dia syahid” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

  1. Mati kerana mempertahankan diri dan keluarga.


“Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia syahid, juga yang mati kerana mempertahankan nyawa ahli keluarganya” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

  1. Mati ketika berkawal, menjaga sempadan dan bertugas.


Hal ini khusus utk tentera dan mujahidin. “Berkawal sentri sehari semalam lebih baik daripada berpuasa sebulan dan mendirikan malamnya. Sekiranya dia mati, mengalir kepadanya pahala amalan yang telah dikerjakannya, berterusan rezeki kepadanya dan aman dari azab kubur”. (Hadis riwayat Muslim)

  1. Mati ketika sedang mengerjakan amal soleh.


Dari Hudzaifah r.a, Nabi S.A.W bersabda, “Barangsiapa mengucap syahadah dengan ikhlas, lalu mati, dia masuk syurga. Sesiapa yang berpuasa sehari dengan ikhlas, lalu mati, dia masuk syurga. Sesiapa bersedeqah dengan satu sedeqah yang ikhlas lalu dia mati ketika itu, dia masuk syurga”. (Hadis riwayat Ahmad). Seseorang yang meninggal ketika sedang mengerjakan amal soleh, maka dia mati dengan petanda yang baik

  1. Meninggal di kota Madinah.


Ibnu Umar r.a berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Barangsiapa yang mampu mati di Madinah, hendaklah dia mati di situ kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat terhadap sesiapa yang mati di situ (Madinah)”. (Hadis riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban)

  1. Mati dibunuh oleh pemerintah yang zalim.


Dari Jabir r.a, “Penghulu syuhada’ ialah Hamzah Abdul Muttalib dan lelaki yang berdiri kepada penguasa yang zalim, maka dia menyeru dan menegah penguasa tersebut lalu dia dibunuh”. (Hadis riwayat Al-Hakim).

KEADAAN KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL KHATIMAH)


images

MAKLUMAT TAMBAHAN

1) 20 perkara ini merupakan tanda-tanda mati yang baik, yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang pelbagai. Timbul persoalan, apakah seorang yang kufur dan syirik juga mendapat syahid hanya kerana mati pada hari jumaat? Atau hanya kerana mati lemas? Sedangkan kufur dan syirik merupakan sebesar-besar dosa. Tanda-tanda ini diibaratkan seperti keuntungan yang berlipat ganda dan menggiurkan namun bagaimana kita inginkan keuntungan berkenaan jika kita tidak berniaga dan tidak mempunyai modal asas. Apa yang penting, kita hendaklah terlebih dahulu menyediakan tapak dengan mengerjakan solat, puasa, zakat dan perintah Allah yang lain serta meninggalkan larangan-Nya. Kemudian sama-samalah kita berdoa semoga kita semua mendapat mati dalam keadaan yang baik (HUSNUL KHATIMAH).

2) Para ulama’ telah membahagikan syahid kepada syahid besar dan kecil. Syahid besar (ada juga menyebutnya sebagai syahid dunia akhirat) ialah mereka yang mati di dalam peperangan menegakkan agama Allah. Mereka tidak perlu dimandi dan dikapankan. Sementara syahid kecil (disebut juga sebagai syahid akhirat) merujuk kepada mereka yang mati dalam keadaan husnul khatimah selain daripada kes mati dalam perang. Contohnya seperti mati kerana sakit perut, mati kebakaran, mati lemas, wanita yang mati bersalin dan sebagainya.

Semoga bermanfaat. WALLAHUA’LAM...

No comments: