Wednesday, 4 February 2015

SEDIAKAN BUKU GARIS PANDUAN PT3


Pentaksiran Tingkatan 3



SEDIAKAN BUKU GARIS PANDUAN PT3-Kementerian Pendidikan disaran supaya menyediakan buku garis panduan yang lengkap mengandungi maklumat terperinci tentang ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi membolehkan ibu bapa serta pelajar lebih memahami pelaksanaan peperiksaan itu.


Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan merangkap Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkata antara isi kandungan yang perlu ditulis dalam buku berkenaan ialah mengenai kaedah penilaian dan pentaksiran PT3 dilaksanakan.


"Penerangan jelas bagaimana guru membuat pemarkahan perlu dimaklumkan kepada ibu bapa dan pelajar dan ia termasuklah ciri-ciri jawapan yang diambil kira," katanya hari ini.Beliau berpendapat dan yakin bahawa penerangan tersebut dapat memberi kefahaman sekaligus dapat mengelak  daripada timbulnya anggapan sama ada wujud guru berat sebelah dalam memberi pemarkahan. Tambah beliau, buku itu juga harus dinyatakan dengan jelas mengenai tempoh atau jangka masa penilaian terhadap pelajar agar ibu bapa dapat membuat persediaan yang lebih.

Beberapa contoh soalan dan jawapan turut disaran oleh beliau supaya dimuatkan dalam buku garis panduan berkenaan yang serba sedikit boleh membantu ibu bapa dan pelajar memahami kehendak sebenar PT3. Menurutnya, ibu bapa juga perlu diberitahu bagaimana keputusan peperiksaan itu digunakan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan bagaimana ia diambil kira bagi menentukan kerjaya pelajar.

"Masih ramai ibu bapa tidak faham mengenai perbezaan PT3 dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ia perlu diterangkan kerana ibu bapa selama ini sudah terbiasa dengan pendekatan orientasi peperiksaan," katanya.

Ujar beliau lagi, mungkin juga boleh dimasukkan bentuk sokongan yang boleh diberi ibu bapa dan penjaga dalam membantu memastikan bukan sahaja pelajar malah guru bersedia dengan PT3.

PT3 yang dilaksanakan buat pertama kalinya tahun lepas dan diduduki sebanyak 453,4123 calon peperiksaan di 2,608  pusat peperiksaan seluruh negara.

Peperiksaan itu bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai satu usaha kerajaan memansuhkan sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

PT3 ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3. Format soalan PT3 adalah berbentuk subjektif atau respon terbuka.

Mohamad Ali berkata kementerian juga perlu tegas dengan memastikan guru-guru diberi latihan dan dilengkapi pemahaman yang secukupnya.

Selain itu juga menurut beliau guru-guru perlu diberi penilaian secara berkala dan pemeriksaan secara adhoc ke setiap sekolah bagi mengetahui tahap kesediaan serta keupayaan setiap guru.



pelaksanaan pt3"Kita tidak mahu ibu bapa terus merungut kerana mendapati tenaga pengajar belum bersedia sepenuhnya. Semua kelemahan perlu diatasi segera bagi memastikan PT3 tahun ini dapat dilaksanakan dengan 'zero defect' (kesilapan sifar)," katanya.Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof. Madya Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar berkata PT3 mampu melahirkan pelajar yang mahir berfikir, bukan hanya menghafal jawapan."Kelemahan pada peringkat awal pasti ada dan sudah tentu kementerian akan berusaha mengatasi perkara itu namun ia juga menuntut perubahan sikap ibu bapa serta pelajar," katanya.

Junaidi berkata PT3 membantu menyediakan anak-anak mereka berdepan suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi kerana pelajar akan dididik untuk berfikir di luar kotak serta tahu cara menggunakan sumber-
sumber lain demi mendapatkan ilmu.

"Ibu bapa usah gusar, garis panduan telah disediakan dan guru-guru sudah diberikan penerangan serta latihan...jangan jadikan kekurangan sebelum ini untuk menafikan kelebihan yang bakal dinikmati pada masa hadapan," katanya.

No comments: