Tuesday, 10 February 2015

Dengan mahram pun ada aurat??

Dengan mahram pun ada aurat?? - Pada artikel yang lepas sudah dinyatakan tentang definisi aurat dan bahagian-bahagian aurat pada lelaki dan perempuan. Harap semua pembaca sudah hadham dan amalkan. Seperti yang dijanjikan, artikel pada kali ini akan mengupas tentang aurat terhadap mahram dan siapa golongan mahram tersebut. Mesti ramai yang tertanya-tanya kenapa dengan mahram pun ada aurat sedangkan aurat itu kan bertujuan untuk menutup bahagian badan daripada pandangan ajnabi. Sebenarnya, dengan mahram juga ada aurat tetapi batasan auratnya tidak sama seperti dengan yang bukan mahram atau ajnabi. Penulis akan kupaskan satu persatu permasalahan ini dan harap pembaca memahaminya.



Aurat lelaki ketika bersendirian :

  1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat, “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya”.

  2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’e berpendapat, “Ketika seseorang bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana hukum harus membuka aurat ketika dharurat”.


Batas-batas aurat wanita menurut pendapat mazhab adalah :

  1. Di hadapan lelaki yang bukan mahramnya ialah seluruh anggota tubuh badan termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangan zahir dan batinnya juga kedua belah tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhamamd S.A.W yang bermaksud, “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat” (Hadith Riwayat Al-Bazar dan At-Tirmizi).

  2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki yang mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auratnya adalah antara pusaat hingga paras lutut. Walaubagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhlak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yg selain dari pusat hingga paras lutut agar tidak menaikkan syahwat dan mengghairahkan lelaki walaupun darjatnya mahram dengannya. Lebih ditakuti lagi akan menimbulkan fitnah, kes sumbang mahram dan sebagainya.

  3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita adalah seluruh anggota badan kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan kedua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.

  4. Aurat wanita sahaya ataupun hamba perempuan kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan, auratnya adalah dari pusat hingga paras lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya, auratnya adalah seluruh tubuh badan.




 

Siapakah yang dikatakan golongan mahram bagi wanita?

  1. Bapa sendiri (bapak kandung).

  2. Bapa suami (bapa mertua).

  3. Anak lelaki.

  4. Anak lelaki suaminya – anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal tetapi bukan anak lelaki dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.

  5. Saudara lelaki – adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja.

  6. Anak lelaki keapda saudara lelaki – anak saudara.

  7. Anak lelaki kepada saudara perempuan – anak saudara.

  8. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita – belum mumayyiz.

  9. Anak lalaki susuan.

  10. Bapa susuan.

  11. Saudara susuan.

  12. Bapa saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.

  13. Menantu lelaki.


 

Selamat membaca dan beramal. Semoga apa yang kita peroleh ini mendapat keberkatan dan redha dari-Nya.

 

 

 

 

No comments: