
PLAGIAT JEJAS IMEJ BERPENDIDIKAN-Mereka mempunyai pelajaran serta imej yang tinggi pada mata masyarakat, namun begitu agak menyedihkan bila mana mereka masih gagal elakkan diri daripada meniru, menciplak atau lebih tepat lagi memplagiat hasil orang lain.
Mungkin ada yang tidak percaya atau menganggap isu itu sesuatu yang remeh dan lucu, tetapi sekiranya perkara itu dibiarkan berleluasa tanpa ada usaha untuk menghalang aktiviti kurang sihat itu, nescaya dunia pendidikan tinggi negara akan mengalami zaman malap. Tampak berpendidikan dan cemerlang tetapi isinya kosong.
Untuk pengetahuan anda, dahulu plagiat hanya diistilahkan meniru atau menciplak hasil orang lain, kini definisinya mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka diperluaskan sebagai mencedok karya atau tulisan orang lain yang disiarkan kembali sebagai karya sendiri.
Lebih membimbangkan, kegiatan plagiat ini bukan saja dilakukan oleh siswa peringkat sijil, diploma atau ijazah sarjana muda malah menular ke pasca siswazah termasuk ahli akademik.
Walaupun di negara ini ia dianggap sebagai kes terpencil, ia tetap serius dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya terutama pengurusan universiti dan ahli akademik kerana dikhuatiri kredibiliti golongan bijak pandai itu akan menjadi pertikaian pada masa hadapan.
Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata, jika plagiat berlaku dalam kalangan ahli akademik, maka keseluruhan imej institusi juga akan tercalar.
Beliau berkata, golongan itu seharusnya mencerminkan integriti dan profesionalisme tinggi kerana mereka adalah tergolong dalam golongan cendekiawan.
"Istilah cendekiawan itu sendiri sangat tinggi maknanya jadi boleh bayangkan kalau mereka ini melakukan plagiat.
"Aspek profesionalisme, nilai moral, imej diri sebagai seorang ahli akademik akan tercemar dan boleh dipersoalkan.
"Mereka mendidik, mengajar tapi pada masa sama memplagiat hasil orang lain. Jadi di manakah taraf ilmu mereka perlu diletakkan?" katanya.
Tambah beliau, walaupun plagiat selalu dikaitkan dengan siswa peringkat pengajian rendah (diploma atau ijazah sarjana muda) dan jarang sekali dilakukan siswa pasca siswazah (ijazah sarjana dan doktor falsafah), ia tetap berlaku.

"Plagiat bukanlah sesuatu yang aneh di universiti kerana masing-masing mahukan hasil terbaik.
"Bagaimanapun, jika ia dilakukan siswa peringkat pengajian tinggi, ia seolah-olah satu kepincangan yang sukar diterima.
"Anda sudah dewasa, sudah mampu berfikir dan berpengalaman menjadi siswa sebelum itu. Jadi mengapa masih perlu plagiat?", katanya.
Beliau menganggap mereka yang suka memplagiat hasil orang lain sebenarnya tidak yakin terhadap diri sendiri.
"Jika yakin dan percaya pada kemampuan diri sendiri, tidak perlu plagiat.
"Anda belajar, menyelidik dan menulis tesis bagi membuktikan anda layak digelar orang cerdik pandai.
"Tidak perlu meniru hasil orang lain, tapi anda berusaha keras bagi mencapai kejayaan," katanya.
Bagi menangangi plagiatisme daripada terus mencalar kredibiliti institusi pengajian tinggi (IPT), pelbagai kaedah digunakan sama ada secara manual atau bantuan perisian khas.
Contoh perisian yang sering digunakan untuk mengesan aktiviti plagiat ialah Turnitin. Turnitin memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuat padanan teks penulisan dengan teks yang terdapat dalam server Turnitin. Padanan akan menunjukkan peratus kesamaan dengan teks yang disemak. Sekiranya melebihi peratusan ditetapkan, ia dianggap plagiat.
Perisian yang diperkenalkan pada 1997 ini menetapkan kadar melebihi 24 peratus daripada hasil penulisan teks yang disemak sebagai plagiat manakala di negara ini melebihi 35 peratus sebagai kadar standard.
Sebelum kewujudan perisian berkenaan, semakan untuk plagiat hanya dilakukan secara rambang menjadikan ia mengambil masa agak lama untuk dikenalpasti.
Beliau berkata, walaupun isu plagiat dalam kalangan pensyarah kurang diperkatakan, namun ia tetap menjadi isu yang kerap dibincangkan di peringkat global.
Menurutnya, plagiat dalam kalangan ahli akademik di negara ini masih boleh dianggap terpencil serta jarang berlaku berbanding di beberapa negara membangun lain menunjukkan peratusan yang membimbangkan.
"Disebabkan pemantauan terhadap hasil tesis atau jurnal pensyarah sangat ketat, aktiviti plagiat dalam kalangan ahli akademik negara ini dianggap sangat terpencil.
"Namun di negara lain seperti India dan China, kebimbangan semakin memuncak kerana ada di sesetengah negara kadar peratusan plagiat meningkat setiap tahun melebihi dua peratus.
"Kita harus bersyukur kerana IPT negara ini sangat ketat menjaga kualiti dan benar-benar mengiktiraf hanya mereka yang layak saja sebagai ahli akademik sebenarnya," katanya.
Laporan daripada Pertubuhan Sains dan Teknologi China (CAST) pada 2009 mendapati 43.4 peratus peratus daripada purata 30,000 penyelidik mereka terbabit dengan plagiat dan mengaitkannya sebagai sesuatu yang 'menakutkan'.
Manakala di India mendapati 80 kes plagiat berlaku dalam tesis atau jurnal yang dihantar sepanjang tempoh 2006 hingga 2008 dan di Amerika Latin 80 peratus daripada 33 tesis dihantar adalah plagiat.
Beliau berkata, faktor utama dikenal pasti terjadinya plagiat ialah kerana mahukan keputusan cemerlang sebagai kredit bagi memperoleh peluang pekerjaan ataupun kenaikan pangkat.
"Malangnya, ia seolah-olah menipu diri sendiri kerana tidak menghasilkan karya atau ilmu tulen.
"Ini bukan sikap ahli akademik yang profesional mahupun sebagai golongan terpelajar.
"Jika mahu bergelar profesor atau doktor, anda perlu berusaha keras untuk menikmati hasilnya," katanya.
No comments:
Post a Comment